Tujuan hidup yang sebenar, insan Rabbani diutuskan di dunia ini adalah untuk menyembah Allah s.w.t dan sentiasa mengharapkan keredhaanNya. Menyembah Allah s.w.t bererti memusatkan penyembahan kepada Allah s.w.t semata-mata, dengan menjalani dan mengaturkan segala segi dan aspek kehidupan didunia ini, lahir dan batin jasmani dan rohani, sesuai dengan kehendak Illahi, baik dengan kehidupan individu dengan Allah s.w.t sebagai hambaNya mahupun dalam hubungan sesama manusia sebagai anggota masyarakat.
Didalam setiap bidang kehidupan seorang hamba Allah s.w.t sama ada berupaya ibadah terhadap Illahi atau berupaya muamalah (amal perbuatan sesama manusia) semua itu dilakukan dalam rangka penyembahannya kepada Allah s.w.t dan dengan niat atau motif hanya untuk mencari keredhaanNya semata-mata.
Di dalam proses memulakan hidup manusia kepada penyembahan Allah s.w.t, risalah dakwah yang dibawa Rasullullah s.a.w sebenarnya memerdekakan jiwa manusia dari Ilah-Ilah yang lain. "Tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t ..." Kebebasan dari pendewaan dan pemujaan sesama makhluk yang semuanya itu merupakan penghinaan dan pelanggaran keatas martabat manusia.
Selepas memerdekakan diri dari penyembahan kepada Ilah-Ilah lain, tertegaklah yang hakiki di atas kalimah "Tiada Ilah yang berhak disembah selain daripada Allah s.w.t." Pusat penyembahan dan pembaktian adalah semata-mata kepada Allah yang Esa dimana pembulatan segala kepatuhan adalah kepada yang diredhai Allah Yang Satu.
Firman Allah s.w.t:
"Wahai manusia, Perhambakanlah dirimu kepada Tuhan mu yang menjadikan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu terpelihara (dari kejahatan). Tuhan mu yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit sebagai tudung. Dan ia turunkan air dari langit lalu dengan itu ia keluarkan dari buah-buahan, sebagai rezeki untuk mu; lantaran itu jangan lah kamu ada-adakan sekutu bagi Allah, padahal kamu tahu." (Al-Baqarah: 21-22)
No comments:
Post a Comment